Orang ramai beratur untuk membuat semakan di Pusat Mengundi Sekolah Rendah Agama Pekan Hulu Langat, Batu 14, Hulu Langat pada 19 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Golongan muda sedia mengundi, pastikan kebajikan rakyat, negeri diurus sebaiknya

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

SHAH ALAM, 14 JULAI: Golongan muda sedia melunaskan tanggungjawab mengundi bagi menentukan tampuk pemerintahan dalam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos.

Kakitangan swasta Muhammad Annuar Mastar, 27, yang akan mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok berkata menjadi tanggungjawabnya untuk memilih bagi memastikan kebajikan rakyat dan negeri diurus sebaiknya.

Muhammad Annuar Mastar, 27

“Generasi muda sekarang sudah pandai membuat penilaian dan memilih siapa yang seharusnya menjadi pemimpin kerana ia memberi kesan kepada kebajikan dan masa depan rakyat,” katanya yang turut menyeru golongan muda lain mengambil peluang PRN untuk memilih.

Pandangan sama turut dikongsi penghantar makanan, Sazali Zamani, 37, selain berharap golongan muda bijak memilih pemimpin yang mampu melaksanakan amanah dan membela nasib penduduk.

Sazali Zamani, 37

“Jadilah pengundi yang bijak. Pilihlah pemimpin yang benar-benar mampu menjalankan amanah dengan baik dan buat pilihan dengan rasional tanpa mengikut perasaan,” katanya yang akan mengundi di DUN Batang Kali

Sementara itu, kakitangan swasta, Farahana Adenan, 45, berharap pengundi muda tidak menganggap proses mengundi ini sebagai remeh dan rumit sebaliknya memanfaatkan peluang ini menentukan nasib negeri dan warganya.

Farahana Adenan, 45

“Jalankan tanggungjawab sebagai rakyat. Mengundi penting untuk menentukan siapa pemimpin yang akan mewakili rakyat dengan cekap serta kerajaan mana yang akan mentadbir Selangor nanti.

“Golongan muda tidak boleh memandang ringan tanggungjawab mengundi kerana generasi merekalah yang akan mencorakkan hala tuju negara,” katanya yang akan mengundi di DUN Kota Anggerik, Shah Alam.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi bagi enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Hari penamaan calon pula ditetapkan serentak pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos dengan tempoh berkempen selama dua minggu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, HARAPAN mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi diikuti BN (empat kerusi) dan PAS (satu kerusi).

Sebelum DUN dibubarkan, HARAPAN memiliki 40 kerusi (KEADILAN-19, DAP-15, Amanah-enam) diikuti BN (lima), Bersatu (empat) dan Parti Bangsa Malaysia (dua) manakala PAS, Pejuang serta Warisan masing-masing satu kerusi selain seorang wakil rakyat Bebas.

Kerusi Batang Kali pula diisytiharkan kosong pada Februari lepas selepas wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.


Pengarang :