Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat, Kuala Langat pada 5 Mei 2023 Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

69 peratus pengundi Melayu sokong Anwar, 68 peratus setuju kerjasama HARAPAN-BN

SHAH ALAM, 14 JULAI: Sebanyak 69 peratus orang Melayu di Selangor berpuas hati dengan prestasi kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tinjauan yang dibuat antara 12 Jun hingga 18 Jun juga mendapati 68 peratus responden berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan sejak ditubuhkan hujung November lalu.

Kira-kira 69 peratus pengundi Melayu di negeri ini mendukung kerjasama Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) ketika tiada gabungan parti dapat membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lalu.

Anwar juga menjadi pilihan paling popular untuk meneraju negara sebagai perdana menteri dengan 50 peratus sokongan berbanding hanya 16 peratus lagi untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan hanya 4 peratus bagi Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatuni anak-anak yatim ketika Majlis Berbuka Puasa bersama pengamal media dan penggiat seni di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 11 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dijalankan firma penyelidikan Endeavour-MGC, tinjauan itu turut menilai sikap pengundi Melayu terhadap Kerajaan Selangor menjelang pilihan raya negeri yang bermula 29 Julai ini.

Sebanyak 71 peratus orang Melayu di Selangor berpuas hati dengan prestasi keseluruhan barisan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Kira-kira 68 peratus responden berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan Negeri bawah gabungan tersebut sejak 2018.

Amirudin juga mendapat sokongan majoriti responden untuk memimpin semula Selangor sebagai Dato’ Menteri Besar selepas pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini.

Beliau menjadi pilihan paling popular dengan 46 peratus responden berbanding hanya 6 peratus untuk Dato’ Seri Azmin Ali, 4 peratus Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan 3 peratus Tan Sri Noh Omar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni penerima Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Borang 5A) Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak selepas majlis penyerahan surat kelulusan tersebut sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Benam pada 14 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Kira-kira 75 peratus responden menjangkakan HARAPAN akan memilih semula Amirudin sebagai Dato’ Menteri Besar jika gabungan HARAPAN dan BN menang.

Tinjauan tersebut melibatkan 1,068 responden Melayu di seluruh 56 kerusi pilihan raya dengan nisbah seimbang antara lelaki dan wanita.

Kira-kira 45 peratus responden daripada golongan B40, 40 peratus lagi M40 dan selebihnya T20. Margin kesilapan dianggarkan 3 peratus.


Pengarang :