Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub beramah mesra bersama pembeli barangan keperluan asas di Jualan Ehsan Rahmah di Taman Keramat pada 31 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Program kebajikan negeri meliputi semua kawasan, tiada rakyat terpinggir

SHAH ALAM, 14 JULAI: Program kebajikan yang dilaksana Kerajaan Selangor tidak tertumpu kepada penduduk di bandar sebaliknya meliputi segenap lapisan masyarakat termasuk di kawasan luar bandar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan RM2.3 bilion daripada hasil negeri diagih sama rata melalui pengenalan pelbagai inisiatif dan program kebajikan kepada rakyat.

“Pencapaian kita membuktikan kita mampu mengembangkan ekonomi negeri dan agih kekayaan itu kepada rakyat, baik (program) insurans, sekolah, pendidikan, Jualan Ehsan Rahmah (JER) dan Roda Darul Ehsan (RiDE) untuk penghantar makanan.

“Sudah tentu semua program itu tidak bertumpu di kawasan bandar sahaja tetapi untuk luar bandar,” katanya dalam program The Breakfast Grille kendalian sebuah stesen radio tempatan pagi tadi.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengambil contoh JER, beliau memaklumkan RM16 juta dibelanja bagi menjayakan jualan murah barangan asas di seluruh negeri sejak September tahun lepas.

“Kita percaya peruntukan itu sudah memanfaatkan empat juta penduduk negeri ini. Ini membuktikan kesungguhan kita memelihara kebajikan rakyat walaupun harga barang semakin meningkat,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di tapak karnival Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 24 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Inisiatif RiDE pula, Amirudin menjelaskan seramai 9,000 belia yang berkhidmat dalam sektor penghantaran makanan memperoleh wang tunai RM500 termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak diperkenal pada 2020.

“Jadi program kita buat ini juga tidak melupakan golongan ini, malah kita terus berinteraksi dengan mereka,” katanya lagi.


Pengarang :