SHAH ALAM, 14 JULAI: Ramai pemimpin peringkat akar umbi Barisan Nasional (BN) hadir program anjuran bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN termasuk ceramah politik kebelakangan ini.
Pengerusi HARAPAN negeri Dato’ Seri Amirudin Shari percaya penyertaan mereka isyarat jelas gabungan tersebut mampu membentuk kerajaan selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos.
Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar berkata hubungan baik itu bukan sahaja peringkat akar umbi politik, bahkan meliputi ketua komuniti, Kawasan Rukun Tetangga dan pengerusi persatuan.
“Pada peringkat akar umbi, pemimpin kita (HARAPAN) boleh kerja bersama (BN). Kami ada hubungan baik, mereka berinteraksi serta berkomunikasi antara satu sama lain.
“Ia petanda baik walaupun ada orang yang mungkin tidak ambil tahu politik masih skeptikal bahawa kita (HARAPAN-BN) boleh jadi gabungan yang baik,” katanya di sini hari ini.
Bercakap dalam program The Breakfast Grille kendalian sebuah stesen radio tempatan, Amirudin mengulangi keyakinan HARAPAN untuk mampu menang 33 daripada 56 kerusi berdasarkan kaji selidik empat bulan lalu.
“Kita percaya (boleh capai sasaran itu). Saya rasa ia sudah cukup selesa untuk HARAPAN tetapi kita tidak boleh ambil mudah, sebaliknya kena kerja keras.
“Rakyat juga harus ingat bahawa ini (PRN) penting bagi menentukan (hala tuju) Selangor lima tahun akan datang,” katanya lagi.