BUDAYARENCANA

Kebaya ini ungu, langit itu biru

Oleh Aliaa Alina

Saya tidak dapat melihat warna.

Waktu kecil, mama menyangka saya sekadar tidak dapat membezakan warna merah dan hijau. Seperti orang yang buta warna. Namun semasa kami bersiar-siar pada tengahari yang terik, saya mempersoalkan mengapa langit sentiasa mendung berwarna kelabu.

Ketika itu, barulah mama tersedar bahawa saya monokromatik. Seumur hidup, mata saya telah disumpah takdir untuk melihat dunia dalam warna kelabu, hitam dan putih sahaja.

Saya ingat lagi, saya pernah terbaring menangis di tengah padang kerana dimarahi oleh guru seni. Puncanya kerana saya tidak boleh membezakan antara warna merah, kuning dan biru apabila ditanya. Mama datang memeluk dan mengajar bahawa mawar itu merah, pisang itu kuning dan langit itu biru.

Saya mempersoalkan keputusan Tuhan yang menjadikan diri ini berbeza dan tidak normal seperti manusia lain. Mama diam tiada jawapan.

Tetapi dia memujuk, katanya, walaupun dunia berwarna suram di mata ini, saya perlu ingat bahawa langit itu sentiasa biru.

Ketika saya membesar, mama dan ayah mengusahakan sebuah kedai kebaya di Jonker Street. Kami bertiga tinggal di rumah kecil di tingkat atas kedai tersebut.

Mama dan ayah tidak mampu mengupah pekerja di kedai kebaya kami. Jadi saya membantu menjadi jurujual walaupun tidak mampu membezakan warna. Sebab itu, mama menggantung dan menyusun kebaya berdasarkan kod warna untuk saya. Setiap rak diletakkan label warna supaya saya tahu jenis warna yang dikehendaki oleh pelanggan.

Ayah pula seorang tukang jahit yang pendiam. Dalam sehari, hanya sekali dia menegur bertanya, “Kamu dah makan?” kepada saya. Kemudian dia senyap di dalam bilik kecil meneruskan kerja memotong kain dan menjahit kebaya. Mama pula mulutnya begitu ramah dan becok melayan pelanggan yang datang menyinggah ke kedai.

Mereka begitu berbeza sifatnya. Mungkin kerana itu mereka begitu sempurna bersama.

***

Saya ingin menceritakan tentang sepasang kebaya Kota Bharu berwarna ungu yang pernah dijual di kedai kami. Mulanya, kebaya itu ditempah oleh seorang pelanggan yang sarat mengandung. Dia bercadang mahu memakai kebaya itu sebaik sahaja habis berpantang. Namun, kebaya itu dipulangkan kerana si suami mengejek tubuhnya seperti memakai sarung nangka. Malah di dalam kedai kami pun, si suami masih mempersendakan badan isterinya yang baru bersalin.

Baju kebaya ungu itu pun dilelong. Setiap hari, kebaya itu direnung dengan penuh keinginan. Mama kata warna ungunya indah seperti bunga tarum.

Saya teringin memakai kebaya itu namun saya sedar diri bahawa dada ini rata dan punggung pula leper. Saya pasti kelihatan seperti papan yang disarung kebaya.

Tidak lama kemudian, seorang gadis datang dan memilih kebaya ungu tarum untuk dijadikan baju pertunangan. Malangnya, sekali lagi kebaya ungu tarum dipulangkan kepada kami. Alasannya kerana si tunang telah mengharamkan pemakaian kebaya. Si gadis pun sudah berjubah dan berpurdah. Keinginan saya untuk memakai kebaya itu semakin membuak-buak.

Pada suatu malam, mama rebah ketika memasak untuk kami sekeluarga. Mama meninggal dunia selepas koma di hospital selama tiga hari. Saya tidak ingat punca kematiannya. Saya terlalu sedih untuk mendengar penjelasan doktor yang panjang lebar. Ayah pula senyap membatukan diri di kerusi. Selepas pengebumian mama, ayah seperti memilih untuk membisu buat selamanya.

***

Orang kata tanah kubur itu merah tapi yang saya nampak hanyalah kelabu. Saya menangis menyatakan kerinduan kepada mama. Saya mengadu bahawa ayah tidak mempedulikan kewujudan saya di rumah. Dia telah mengurung diri di dalam bilik kecil selama berminggu-minggu.

Seorang lelaki tua menegur saya memberitahu cuaca semakin gelap menandakan hujan akan tiba. Dia menasihati saya untuk segera pulang namun saya enggan. Lagipun, hari-hari saya selamanya mendung di kaca mata ini.

Saya pulang ke kedai dengan baju yang basah kuyup. Di rak baju, kebaya ungu tarum yang diidamkan sudah pun tiada.

Malam itu, sembunyi-sembunyi saya menyarung sepasang baju kebaya Riau-Pahang berwarna merah delima milik arwah mama. Mama seorang yang berbadan besar membuatkan baju kebaya itu longgar di tubuh saya. Kebaya itu merupakan kegemaran mama dan sering digayakan di rumah kenduri.

Di hadapan cermin, saya berdebat dengan diri sendiri. Adakah saya kelihatan jelita seperti biduanita Saloma atau lebih menyerupai watak Norman Bates di dalam filem Psycho?

Pantulan wajah ayah muncul di hadapan cermin. Dia memegang sepinggan makanan di tangan kanan.
“Malik.”
Selepas sebulan membisu, ayah memanggil nama saya. Jujur kata, seluruh tubuh saya ketika itu menggigil ketakutan. Kepala ini kusut memikirkan pelbagai kemungkinan.

Adakah dia akan memperolok-olok saya kerana memakai baju perempuan? Atau memanggil saya gelaran pondan, bapok, atau ponen seperti yang sering diejek oleh rakan sekelas dahulu? Kemudian mentertawakan saya seolah-olah jantina saya merupakan bahan lawak yang patut dipersendakan.

Bibirnya melengkung membentuk senyuman kecil yang menimbulkan kelegaan.

“Kamu dah makan?” soalnya lembut langsung tidak menghiraukan penampilan ini.

Saya tidak dapat menahan rasa sebak lantas terus memeluk erat tubuh ayah. Dirasakan tulang belulang timbul di tubuhnya sedangkan selama ini ayah saya gempal orangnya. Dia membalas pelukan itu lantas mengeluh perlahan. Seperti turut meluahkan rasa duka yang dipendamnya selama ini.

Dahulu, saya pernah terbaring di hospital selama seminggu selepas teruk dibelasah oleh sekumpulan budak sekolah. Mama terus membuat laporan polis dan mengamuk di bilik pengetua sekolah.

Manakala ayah memilih untuk mendiamkan diri dan duduk menemani saya di hospital. Selama seminggu, dia tidak berganjak dari kerusinya. Sesekali dia bangun hanya untuk bersolat dan ke tandas. Mama kata, ayah enggan tinggalkan saya berseorangan di hospital.

Selepas sembuh, saya diberhentikan sekolah dan ayah mengupah beberapa orang guru untuk datang mengajar di rumah. Upah mengajar tidaklah murah membuatkan dia terpaksa menerima jumlah tempahan kebaya yang tinggi untuk menampung perbelanjaan tambahan kami.

Hujan masih mengguyur di luar kedai. Malam atau siang, cuaca mendung atau terik, tiada beza pun di mata saya. Tetapi saya akan teguh berpegang kepada janji mama bahawa selama-lamanya langit itu sentiasa biru.

 


Pengarang :