Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (tiga, kiri) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 melepaskan peserta Program 6,600 Langkah Perpaduan sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh pada 16 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Bulan Kebangsaan, Kibar Jalur Gemilang 2023 dilancar di Ipoh hari ini

IPOH, 16 JULAI: Jalur Gemilang akan berkibar megah di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini hari ini tanda bermulanya sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023.

Majlis pelancaran yang dijangka menggamit kira-kira 10,000 pengunjung itu akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan pada 10 pagi ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.

Terdahulu seawal jam 6 pagi, lebih 5,000 peserta menyertai program 6,600 Langkah Perpaduan yang dirasmikan pelepasannya oleh Fahmi pada jam 7.30 pagi.

Tumpuan kemudian terarah di pentas utama di mana acara simbolik pelancaran penuh semangat patriotisme berlangsung.

Ia termasuk upacara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian Lagu Negaraku diikuti bacaan Ikrar Rukun Negara.

Selepas itu Timbalan Perdana Menteri akan melepaskan konvoi Kembara Merdeka dan Jalur Gemilang 2023 yang akan menjelajah seluruh pelosok negara sempena menyambut bulan kemerdekaan.

Sempena pelancaran juga, turut diadakan Karnival Kita MADANI dengan pelbagai aktiviti menarik iaitu Jualan Rahmah, pertandingan bintang patriotik, kuiz kenegaraan, persembahan artis dan pelbagai lagi.

Polis Diraja Malaysia pula akan membuka kaunter bayaran saman yang menawarkan pengurangan saman terpilih 50 peratus bermula dari 8.30 pagi hingga 3 petang ini.

Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos akan diadakan di Dataran Putrajaya manakala Sambutan Hari Malaysia pada 16 September berlangsung di Kuching, Sarawak.

– BERNAMA


Pengarang :