EXCO Sukan merangkap penyandang ADN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman (lima kanan) melakukan simbolik perasmian kejohanan e-Sukan Robotik Selangor XTIV di parkir pasar raya Econsave Paya Jaras Sungai Buloh pada 15 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Unit sains sukan diperkasa, yakin beri impak prestasi atlet SUKMA Selangor

SHAH ALAM, 16 JULAI: Pemerkasaan unit sains sukan diyakini memberi impak positif terhadap prestasi atlet Selangor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak Ogos 2024.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata unit khas yang diselaras Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor diperkasa sejak tahun lalu dengan mengkaji prestasi selain menilai keperluan semasa atlet.

“Dahulu sains sukan persepsinya lebih kepada pemulihan kecederaan dan perubatan semata-mata. Jadi apa yang kita buat, kita perkasa unit sains sukan.

“Unit ini akan kaji prestasi, cara permainan, fizikal termasuk keperluan atlet seperti pakaian dan kasut. Kita yakin dengan adanya unit sains sukan ini, kontinjen Selangor boleh capai matlamat raih juara keseluruhan,” katanya.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman ketika kejohanan e-Sukan Robotik Selangor XTIV di parkir pasar raya Econsave Paya Jaras Sungai Buloh pada 15 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Ditemui pada Program Kemahiran e-Sukan Robotik XTIV Selangor semalam, beliau memaklumkan MSN Selangor bekerjasama dengan Persatuan Sukan Korea di Malaysia baru-baru ini bagi membantu penyediaan sokongan sains sukan.

“Kerjasama itu termasuk perkongsian kepakaran sains sukan, pembangunan penyelidikan serta pengurusan sukan dan program latihan berprestij tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata Selangor akan menghantar atlet dalam semua 37 jenis sukan yang dipertanding dalam temasya berkenaan.

“Kita akan hantar semua (jenis sukan) dan sentiasa bersedia dengan atlet dikenal pasti giat menjalani latihan,” katanya.

Temasya sukan terbesar itu dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos 2024 membabitkan lapan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada 12 Jun lalu turut bersetuju mempertanding 37 jenis sukan.


Pengarang :