Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama peserta Larian Tasik Sanktuari 2023 di perkarangan Smart Tahfiz Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya pada 16 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB lepaskan lebih 300 peserta Larian Tasik Sanktuari Unisel

KUALA SELANGOR, 16 JULAI: Dato’ Menteri Besar melepaskan 320 peserta Larian Tasik Sanktuari 2023 di pekarangan Smart Tahfiz, Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya di sini pagi tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba kira-kira jam 7 pagi melakukan senamrobik bersama peserta terdiri daripada penuntut dan kakitangan Unisel termasuk pelajar sekolah berhampiran serta beberapa badan kerajaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyertai senamrobik ketika Larian Tasik Sanktuari 2023 di perkarangan Smart Tahfiz Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya pada 16 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Amirudin dalam ucapan ringkas berkata acara seumpama itu wajar diperluas bagi memulihkan semula kesihatan mental dan fizikal individu yang terkesan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Sekarang negara dalam proses pemulihan ekonomi, tetapi mental dan fizikal kita juga perlu (pemulihan). Ada keperluan untuk kita lepaskan tekanan dihadapi selama ini.

“Jadi larian seperti ini adalah sebahagian kaedah yang wajar dipraktik serta dirancang bersama keluarga dan masyarakat,” katanya sebelum pelepasan peserta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan peserta Larian Tasik Sanktuari 2023 di pekarangan Smart Tahfiz Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya pada 16 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Amirudin yang diiringi Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Pengerusi Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Mohd Yahya Mat Sahri turut meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau persekitaran tasik seluas 150 ekar selain menikmati air tebu.

Sementara itu, Pengarah Program Larian Hanif Harun berkata acara tersebut julung kali dianjurkan Pertubuhan Keusahawan Sepakat Unggul Malaysia dengan kerjasama Unisel membabitkan larian sejauh enam kilometer.

Beliau berkata sepanjang larian, peserta menghirup udara segar selain menikmati panorama tasik yang indah dan unik serta menjadi habitat pembiakan burung sukar ditemui di negara ini.


Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut mesin tebu ketika Larian Tasik Sanktuari 2023 di perkarangan Smart Tahfiz Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya pada 16 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Peserta juga melalui beberapa titik persinggahan (check point) untuk melakukan aktiviti menarik seperti makan telur itik, melepaskan ikan dan minum air tebu,” katanya.


Pengarang :