Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Keluarga rayu pulangkan baki RM60,000 berterabur atas jalan, saguhati menanti

JERTIH, 16 JULAI: Keluarga mangsa yang keciciran wang akibat terjatuh dari kereta di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Lak Lok di sini, Rabu lalu, menawarkan saguhati kepada sesiapa yang dapat memulangkan kembali wang berkenaan.

Wan Mastura Wan Leh, 26, kakak kepada Wan Ibrahim, 24, merayu sesiapa yang terambil duit hasil titik peluh adiknya diminta memulangkan semula wang itu.

“Jika diikutkan duit itu akan digunakan untuk mengembangkan lagi perniagaan kedai gunting rambutnya, namun disebabkan kejadian ini, semangatnya sedikit goyah.

“Kami berharap lebih ramai tampil memulangkan kembali wang yang mereka kutip tempoh hari dan sedikit saguhati akan diberikan,” katanya ketika dihubungi, lapor Berita Harian.

Dalam kejadian Rabu lalu, Wan Ibrahim Wan Leh, 24, kehilangan kira-kira RM30,000 apabila wang tunai berjumlah lebih RM60,000 diletakkan atas but keretanya, terjatuh bertaburan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Lak Lok di sini, pada 11 pagi.

Kejadian berlaku apabila adiknya terlupa beg kain berisi wang tunai yang diletakkan di atas but kereta jenis Honda Civic, sebelum bergerak dari rumah ke sebuah bank untuk menyimpan wang itu.

Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut.

“Kami berharap mana-mana individu yang mengambil baki wang itu agar memulangkan kembali kepada kami. Sesiapa pihak yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi saya di talian 013-5395538,” katanya.


Pengarang :