EXCO Pelancongan Dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Hee Loy Sian (tengah) ditemui ketika majlis penyerahan lampu tenaga solar melalui Projek Pembangunan Teknologi Hijau Negeri Selangor di SJK (C) Sungai Chua pada 17 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/ SELANGOR KINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Peruntukan RM1.3 juta bagi geran kecil teknologi hijau, alam sekitar

HULU LANGAT, 17 JULAI: Sejumlah RM1.3 juta diperuntuk bagi Geran Kecil Teknologi Hijau dan Alam Sekitar kepada persatuan dan organisasi dari seluruh Selangor.

EXCO alam sekitar dan teknologi hijau berkata sebanyak RM800,000 diperuntukkan untuk Geran Kecil Teknologi Hijau (GKTH) dan RM500,000 Geran Kecil Alam Sekitar (GKAS).

Hee Loy Sian berkata penerima geran termasuk badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk, badan pengurusan bersama (JMB), surau, masjid dan sekolah yang memohon dengan jumlah maksimum RM20,000 bagi GKTH manakala GKAS adalah RM10,000.

“Ia akan diserahkan Jumaat ini dan geran itu bertujuan menggalakkan masyarakat bergiat dalam aktiviti teknologi hijau dan penjagaan alam sekitar.

“Ia termasuk penanaman pokok, pembersihan sungai dan pantai, pembinaan sistem pengumpulan air hujan, kitar semula selain pemasangan lampu solar,” katanya selepas menyempurnakan program pemasangan lampu tenaga solar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Chua di sini, hari ini.

Sebanyak RM20,000 diperuntuk kepada sekolah berkenaan bagi pemasangan lapan tiang lampu tenaga solar yang akan memanfaatkan kira-kira 1,400 pelajar dan guru.

Permohonan geran kecil itu dibuka mulai 20 April lalu dengan keutamaan diberi kepada projek yang berpotensi menghasilkan dampak positif kepada negeri ini selain mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar serta bandar.

Ia turut mengutamakan projek penghijauan dan berinovasi yang memberi dampak jangka panjang terhadap pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar.


Pengarang :