Foto Facebook Jabatan Mufti Selangor
AGENSISELANGOR

Jabatan mufti negeri anjur program bulan falak mulai esok hingga 17 Ogos

SHAH ALAM, 17 JULAI: Jabatan Mufti Negeri menganjurkan program Bulan Falak Selangor bermula esok, sempena sambutan tahun baharu Islam.

Agensi itu memaklumkan program selama sebulan berlangsung sehingga 17 Ogos depan dengan pelbagai pengisian untuk memartabatkan ilmu falak.

“Jabatan Mufti Negeri ingin menjemput semua pihak untuk bersama-sama meraikan sambutan Bulan Falak Selangor sempena Muharram 1445H bermula pada 18 Julai 2023 hingga 17 Ogos 2023.

“Mari meriahkan bulan Muharram ini dengan pelbagai program falak di tempat masing-masing atau sertai program falak yang dianjurkan oleh jabatan ini,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Jabatan Mufti Negeri, program Bulan Falak Selangor akan dimulakan dengan Ahlan Muharram 1445H di Facebook agensi itu jam 6.30 petang, esok.

Jelasnya, program tersebut akan diserikan dengan bacaan doa awal dan akhir tahun serta pesanan yang disampaikan Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir.

“Sila rujuk Facebook Jabatan Mufti Negeri Selangor untuk info program-program falak yang akan dilaksanakan,” katanya.


Pengarang :