Konsep akuaponik yang menggabungkan penternakan ikan dan penanaman tanpa tanah diguna pakai di Laman Hijau@3. Foto MBSA
EXCOSELANGOR

Projek akuaponik diperluas ke daerah lain bantu B40 jana pendapatan

HULU LANGAT, 17 JULAI: Projek akuaponik yang menggabungkan teknik akuakultur dan hidroponik bakal diperluas di banyak kawasan di Selangor bagi menjana ekonomi golongan berpendapatan rendah (B40).

EXCO teknologi hijau berkata projek terbabit dimulakan di Sepang, Kajang dan Kuala Langat, yang membantu golongan itu menternak ikan seperti keli dan tilapia serta menanam sayuran.

“Kita sudah mulakan akuaponik di sekitar tiga daerah berkenaan bergantung kepada permintaan penduduk kerana projek seperti ini memerlukan komitmen daripada mereka.

“Projek ini menunjukkan hasil, jadi ia akan diperluas terutama di pangsapuri yang mempunyai kawasan kosong yang boleh dimanfaatkan,” kata Hee Loy Sian.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan program pemasangan lapan tiang lampu tenaga solar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Chua di sini membabitkan peruntukan RM20,000.

Konsep akuaponik antara teknologi dalam pertanian menggabungkan akuakultur (ternakan ikan air tawar) dan hidroponik (kaedah pertanian berasaskan air).

Selain itu, tanaman akuaponik juga tidak menggunakan baja kimia, sebaliknya memanfaatkan baja daripada sisa perkumuhan ikan ternakan.

 


Pengarang :