Majlis suai kenal Akademi Kepimpinan Wanita Kohort 3 dan jaringan bersama alumni AKW di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 28 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

31 graduan Akademi Kempimpinan Wanita pegang jawatan dalam organisasi penting

OLEH FHATIHAH ZAKINAN

SHAH ALAM, 19 JULAI: Sebanyak 17 peratus atau seramai 31 daripada 180 peserta Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) berjaya memegang jawatan dalam organisasi penting Kerajaan Negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata antaranya berjawatan Ahli Majlis, pemimpin organisasi politik dan pemimpin organisasi badan bukan kerajaan (NGO).

Hidayah Ramli berkata sasaran utama program AKW agar dapat melahirkan lebih ramai pemimpin wanita di semua peringkat pembuatan keputusan.

“AKW dilaksana untuk memantapkan kemahiran dan bertindak sebagai bakat atau ‘talent pipeline’ bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam lapangan politik dan kerja sosial.

“Ini juga berdasarkan Matlamat Keempat Dasar Wanita Selangor iaitu mempercepat penyertaan, perwakilan, dan pembuatan keputusan dalam kehidupan awam dan politik dalam kalangan wanita di Selangor,” katanya.

AKW telah berjaya melaksanakan sebanyak tiga Kohort sejak dilancarkan pada 2019 dengan Kohort 1 dan 2 telah melahirkan seramai 180 orang peserta yang juga alumni.

Bagi Kohort 3 pula seramai 121 orang peserta dipilih bagi mengikuti sepanjang tempoh pembelajaran (1 tahun 3 bulan) dan dijangka bergraduasi pada Oktober 2023.


Pengarang :