Penyandang kerusi DUN Permatang Rozana Zainal Abidin bergambar dengan pengunjung Jualan Ehsan Rahmah yang membawa pulang hadiah beras selepas menjawab soalan kuiz di pekarangan Masjid Al Amiriah, Blok J Sawah Sempadan, Tanjung Karang pada 20 Julai 2023. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin
AGENDANASIONAL

Pengunjung JER jawab kuiz inisiatif Selangor dapat hadiah beras

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 20 JULAI: Seramai 11 pengunjung Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pekarangan Masjid Al Amiriah, Tanjung Karang membawa pulang hadiah beras selepas berjaya menjawab soalan kuiz berkaitan Kerajaan Negeri hari ini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang berkata selain mengisi masa ketika menunggu giliran membeli barangan, kuiz itu untuk menguji pengetahuan pengunjung mengenai inisiatif disediakan untuk rakyat.

“Saya dapat idea secara spontan untuk buat kuiz mengenai Kerajaan Negeri dan mendapat sambutan daripada para pengunjung.

“Antara soalan yang saya tanya apakah inisitif yang disediakan Kerajaan Negeri untuk wanita dan ada pengunjung yang jawab dengan betul iaitu Skim Kesihatan Wanita Selangor atau Mammosel,” kata Rozana Zainal Abidin.

Penduduk mengunjungi Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pekarangan Masjid Al Amiriah, Blok J Sawah Sempadan, Tanjung Karang pada 20 Julai 2023. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin

Menurutnya, pemilihan beras sebagai hadiah kerana barangan tersebut paling laris dan sering mendapat pujian daripada pengunjung JER.

Mengenai jualan murah, Rozana memberitahu kira-kira 400 penduduk di sekitar Blok J Sawah Sempadan datang untuk berbelanja.

“500 ekor ayam, 300 kampit beraa dan 300 pek ikan habis dijual dalam masa sejam.

“Barangan lain iaitu telur, daging dan minyak masak terjual hampir 90 peratus,” tambahnya yang turut mengedarkan akhbar Selangorkini dan risalah Iltizam Selangor Penyayang kepada pengunjung.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Mulai 15 Julai, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mula menjual minyak masak paket satu kg pada harga serendah RM2 sebungkus bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS

 


Pengarang :