Wakil Skuad Saidina Umar Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni dan melawat kanak-kanak empat tahun yang menghidap sakit kulit kronik yang dirawat di sebuah hospital pada 18 Julai 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

Zakat Selangor tanggung kos suntikan kanak-kanak hidap sakit kulit kronik

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 21 JULAI: Penderitaan kanak-kanak berusia empat tahun yang menghidap sakit kulit kronik (atopic eczema) mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi itu memaklumkan pihaknya melawat dan berbincang dengan keluarga serta pakar perubatan bagi melihat keperluan perubatan kanak-kanak terbabit.

“Sayu hati melihat tangisan anak kecil ini menahan kesakitan dengan keadaan kulit kering dan mengelupas di seluruh tubuh.

“Pakar perubatan memaklumkan anak kecil ini memerlukan suntikan khas dengan kos sekitar RM30,000. Tempoh masa penggunaan suntikan sekitar enam sehingga 12 bulan mengikut perkembangan semasa kanak-kanak ini,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut LZS berkata pihaknya berusaha menanggung kos suntikan bagi meringankan beban keluarga kanak-kanak terbabit.

Menurut LZS keluarga kanak-kanak itu hanya memerlukan bantuan perubatan sahaja setakat ini memandangkan keperluan asas kehidupan mencukupi untuk mereka sekeluarga.

“Marilah sama-sama kita doakan semoga kanak-kanak ini sembuh dan dimudahkan urusan sekeluarga. Zakat anda, kami manfaatkan buat mereka. Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka,” katanya.


Pengarang :