Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan titah perasmian penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi Musim 1444 Hijrah di Dewan Solat, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan risau caci-maki ketika PRN, bimbang pecah belah umat Islam

SHAH ALAM, 21 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bimbang sekiranya amalan fitnah dan caci maki ketika pilihan raya negeri (PRN) tidak dibendung akan menjadi lebih parah sehingga memecahkan umat Islam.

Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang dizahirkan di Mimbar Jumaat hari ini turut menyebut Baginda risau perbuatan berkenaan dibuat tanpa rasa takut kepada Allah SWT demi meraih sokongan dan undi rakyat.

“Perbuatan fitnah dan caci-mencaci ini menjadi lebih ketara dan dilakukan tanpa rasa takut dan malu kepada Allah SWT setiap kali menjelang pilihan raya, seolah-olah musim pilihan raya adalah pesta menghalalkan mencaci maki, mengumpat dan memfitnah antara satu sama lain demi meraih sokongan dan undi dari rakyat.

“Segala perbuatan dan tingkah laku sebegini rupa bukan hanya menjatuhkan maruah diri malah mengundang kepada sengketa dan permusuhan yang berpanjangan hingga menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat,” menurut khutbah bertajuk Dosa mengumpat dan mencaci.

Khutbah sama turut mengulangi titah Sultan Sharafuddin berhubung perkara terbabit ketika pengumuman pembubaran Dewan Negeri Selangor pada 19 Jun.

“Isu-isu berkaitan dengan kaum, agama dan Institusi diraja tidak seharusnya diheret bagi dijadikan bahan berkempen. Baginda menegaskan perkara ini agar perbalahan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam tidak berlaku dan hubungan antara kaum di negara ini tidak terjejas.

“Islam amat mengutamakan keharmonian hidup bermasyarakat dan menekankan umatnya sentiasa berbaik-baik sesama Islam dan bertoleransi dengan orang bukan Islam mengikut lunas, batas dan akhlak Islam,” menurut khutbah berkenaan.

Teks penuh khutbah terbitan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor boleh diperoleh menerusi pautan http://e-masjid.jais.gov.my/


Pengarang :