Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika penutup Program Potensi Hari Kanak-kanak Kemas Daerah Gombak di Sekolah Agama Sungai Tua, Gombak pada 23 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pelbagai program dirangka bangunkan potensi pendidikan kanak-kanak

GOMBAK, 23 JULAI: Selangor merangka pelbagai inisiatif dan program untuk menyediakan akses serta membangunkan potensi pendidikan terbaik kepada kanak-kanak di negeri ini.

Program meliputi skim bantuan yuran RM50 sebulan kepada kanak-kanak yang layak selain Cikgu Anis Istimewa Selangor untuk membangunkan potensi guru, kata Dato’ Menteri Besar.

“Saya satu-satunya menteri besar yang mengawal selia sektor pendidikan. Ini cabaran besar kerana di Selangor melibatkan kos, ruangan dan sumber manusia berskala besar yang perlu kita tangani.

“Negeri akan terus memberi dukungan kewangan kepada ibu bapa dan rancang program pencegahan awal untuk pendidikan anak-anak istimewa seperti autisme,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika penutup Program Potensi Hari Kanak-kanak Kemas Daerah Gombak di Sekolah Agama Sungai Tua, Gombak pada 23 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berucap pada majlis penutup program Potensi Hari Kanak-Kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Gombak di Sekolah Agama Sungai Tua, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata usaha membantu pelajar dalam meningkatkan pencapaian akademik antara tumpuan pentadbirannya sejak memegang tampuk pemerintahan pada 2018.

Beliau berkata langkah itu dibuat berikutan statistik Jabatan Pendidikan Selangor yang menunjukkan sekitar 14,000 anak muda berpotensi gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

“Kerajaan Negeri bertindak anjur Program Tuisyen Rakyat dengan kerjasama Jabatan Pendidikan dan menaja 10,000 pelajar untuk enam subjek, termasuk menyediakan makan tengah hari.

“Akibat daripada pandemik Covid-19, program ini juga dapat membantu ibu bapa daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) yang tidak mampu menghantar anak ke pusat tuisyen,” katanya.


Pengarang :