OLEH SHAMZ JOHAN
AMPANG JAYA, 23 JULAI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melaksanakan sebanyak 33 projek pembaikan jalan dan prasarana di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), tahun ini.
Yang dipertuanya berkata sebanyak RM17 juta diperuntuk bagi projek merangkumi baiki dan turapan jalan, longkang serta kemudahan infrastruktur sekitar.
“Sebanyak 33 projek telah dijalankan Julai lepas dibawah peruntukan MARRIS sebanyak RM17 juta, malah ada juga (projek) yang sudah selesai,” kata Dr Ani Ahmad ketika ditemui.
Menurutnya, projek pembaikan termasuklah menaik taraf longkang, pejalan kaki dan kemudahan infrastruktur seperti lampu jalan dan pagar.
Antara projek dijalankan adalah baik pulih longkang dan jalan secara turapan semula di jalan besar berhampiran SJKC On Pong, Mukim Ampang dan turapan jalan di Jalan Kosas 2, Taman Kosas.
Selain itu, kerja pembaikan di Jalan Pandan Bersih, Kampung Pandan, Jalan Pandan Indah 1 hingga 8 dan Jalan Bunga Melur 4, Taman Ampang Indah.
Terdahulu, beliau merasmikan laman anggur Kebun Komuniti Rumah Pangsa AU2 di Taman Keramat.
Beliau turut diiringi Timbalan Pengarah Pertanian, Jabatan Pertanian Selangor, Beverlien Christine dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Rumah Pangsa AU2, Halim Mohamad Said, di sini, hari ini.