AGENDANASIONAL

MB zahir dukacita pemergian Salahuddin

SHAH ALAM, 23 JULAI: Dato’ Menteri Besar menzahirkan dukacita atas pemergian menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, pada jam 9.23 malam tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook berkata Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub berusia 61 tahun seorang pemimpin yang amat tekun bekerja dan prihatin nasib rakyat.

“Menerima berita yang amat sedih dan dukacita pemergian sahabat saya Datuk Seri Salahuddin Ayub. Seorang pemimpin yang amat tekun bekerja demi rakyat.

“Memegang portfolio berkaitan kos sara hidup, beliau sering prihatin dan berbincang bersama untuk membantu rakyat di Selangor. Innalillahi wainna ilaihi raji’un Allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fu’anhu,” tulisnya.

Terdahulu, berita kematian Sallahudin disahkan oleh anaknya Fatiha Salahuddin menerusi kenyataan di Facebook.

Semalam, media melaporkan Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB selepas mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.


Pengarang :