Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Parlimen Ampang di Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah pada 6 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
ADNAGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Negeri rancang lanjut program jualan murah, bantu ringan beban rakyat

OLEH FHATIHAH ZAKINAN

GOMBAK, 23 JULAI: Kerajaan Negeri berhasrat melanjutkan tempoh penganjuran program Jualan Ehsan Rahmah (JER) setahun lagi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu diharap dapat mengurangkan tekanan rakyat khususnya golongan wanita yang membeli barang asas dapur.

“Kerajaan Negeri buat JER, sebab kita tahu banyak wanita tertekan beli barang rumah. Kita perlukan kesinambungan daripada apa yang kita buat ini. Di DUN Sungai Tua sudah lebih 20 kali dianjurkan.

“Kita rancang untuk teruskan lagi (JER) untuk tempoh setahun atau enam bulan daripada bulan 8 (Ogos), untuk kurangkan tekanan rakyat,” katanya.

Amirudin yang juga penyandang DUN Sungai Tua berucap demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Kabaddi Piala Harapan DUN Sungai Tua dan Program Sihat Wanita Pound Fitness, di Dewan Rakyat Padang Awam, Batu Caves, di sini, hari ini.

Program jualan murah itu adalah kesinambungan Jelajah Ehsan Rakyat yang dijenamakan semula dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

JER diperkenalkan tahun lalu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Mulai minggu lalu, PKPS turut menjual minyak masak peket sekilogram serendah RM2 sebungkus di beberapa kawasan terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :