Orang ramai beratur untuk membuat semakan di Pusat Mengundi Sekolah Rendah Agama Pekan Hulu Langat, Batu 14, Hulu Langat pada 19 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRN: Anak muda digesa pilih kerajaan cipta kestabilan negara

Oleh FHATIHAH ZAKINAN

GOMBAK, 24 JULAI: Anak muda digesa untuk membuat pilihan terbaik dalam menentukan kepimpinan kerajaan baharu yang boleh mencipta kestabilan negara pada pilihan raya negeri (PRN).

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hari pengundian bakal menjadi penentu lembaran baharu politik negara bagi tempoh 50 tahun akan datang.

“Gesaan kepada anak muda bukan sahaja memilih parti tetapi perlu turun mengundi, menentukan nasib dan pilih (parti) yang boleh cipta kestabilan dalam negara.

“Semoga lembaran baharu politik Malaysia yang kita lihat hari ini akan jadi kenyataan untuk 30 hingga 50 tahun akan datang.

“Sebenarnya apa yang berlaku hari ini adalah bentuk baharu lebih besar. BN (Barisan Nasional) dulu ada 14 parti, sekarang kita (Kerajaan Perpaduan) jadi 19 parti (HARAPAN, DAP, Amanah, BN, dan lain-lain),” katanya dalam satu program di Batu Caves, di sini, malam tadi.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Perpaduan mewakili semua kaum dan pembentukannya digarap dengan jelas mengikut Perlembagaan bagi memulihkan negara.

“Ada parti UMNO berasaskan Melayu, MIC India, parti pelbagai kaum seperti KEADILAN, dari Sabah dan Sarawak.

“Ia menjadi satu kumpulan besar, inilah sumbangan Malaysia tertubuh di peringkat awal, parti yang awal ditubuh menjadi BN dan sekarang Perpaduan (Kerajaan Perpaduan),” katanya penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Tua itu.

PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan ditetapkan pada 12 Ogos dengan hari penamaan calon pada 29 Julai.


Pengarang :