Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan surat tawaran pemilikan tanah (notis 5A) kepada penduduk Taman Keramat di Dewan MPAJ Taman Keramat, Ampang Jaya pada 24 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri lulus lebih 80,000 permohonan milikan tanah sejak 2008

AMPANG JAYA, 24 JULAI: Lebih 80,000 surat tawaran pemilikan tanah (Notis 5A) diluluskan Kerajaan Selangor untuk diberikan kepada rakyat sejak 2008.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu melegakan penduduk yang sekian lama menanti bagi memiliki tanah yang mereka diami sekali gus merungkai isu setinggan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis penyerahan Notis 5A kepada penduduk di Dewan MPAJ Taman Keramat, Ampang Jaya pada 24 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sejak 2008 hingga Julai tahun lalu saya anggar lebih 80,000 pemilikan tanah dapat dibantu dalam Selangor dan ia melibatkan kawasan penempatan yang dianggap tidak sah, tidak penuhi keperluan atau pemilikan sementara.

“Kita dapat selesaikan banyak perkara dan sebab itu hari ini kita tidak lagi berdepan dengan isu biasa didengari sebelum 2008 iaitu isu setinggan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian surat kelulusan Notis 5A kepada penduduk Taman Keramat di Dewan MPAJ Taman Keramat, di sini hari ini.

“Alhamdulillah, isu setinggan atau peneroka bandar dapat kita kurangkan dengan jumlah yang sangat besar, 80,000 pemilikan dengan kos RM1,000 untuk sekeping pemilikan tanah, selagi mana tidak tergadai dan terjual, ia kekal dengan kos terbabit.”

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penduduk Taman Keramat selepas menyampaikan notis 5A di Dewan MPAJ Taman Keramat, Ampang Jaya pada 24 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, Amirudin menyerahkan surat Notis 5A bagi lanjutan tempoh pajakan 99 tahun kepada 46 pemohon selepas diluluskan di peringkat Pejabat Tanah dan Daerah Gombak pada pertengahan tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Amirudin menyeru penerima memanfaatkan sebaiknya kelulusan yang diberikan itu selain berusaha menjelaskan bayaran bagi mengelak kerugian.


Pengarang :