Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama penerima surat kelulusan tanah pada majlis penyerahan sumbangan Kerajaan Negeri bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada mangsa bencana dan penyerahan surat kelulusan dasar permohonan pemberimilikan tanah di Kampung Bendahara, Batu Caves pada 24 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

81 mangsa banjir Batu Caves terima bantuan keseluruhan RM28,700

Oleh Fitri Hazim Hazam

GOMBAK, 24 JULAI: Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan bantuan RM28,700 kepada mangsa banjir di Batu Caves.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan diberikan kepada 81 penerima bagi meringankan beban dan komitmen Kerajaan Negeri menjaga kesejahteraan rakyat.

“Bantuan mangsa bencana di beberapa lokaliti kawasan Batu Caves ini akan diuruskan MBI.

“Secara keseluruhan Kerajaan Negeri memberi bantuan RM28,700 melalui MBI untuk 81 penerima,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan sumbangan bencana di Dewan Seroja Kampung Bendahara, di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis penyerahan sumbangan Kerajaan Negeri bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada mangsa bencana dan penyerahan surat kelulusan dasar permohonan pemberimilikan tanah di Kampung Bendahara, Batu Caves pada 24 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata penerima terdiri daripada mangsa banjir di kawasan Mukim Batu, Selayang Baru dan Julia Apartment.

Sementara itu Amirudin turut mengumumkan kemudahan penghawa dingin akan dipasang di Dewan Seroja Kampung Bendahara untuk keselesaan penduduk menjalankan aktiviti komuniti dengan peruntukan RM25,000 melalui MBI.

“Bila saya masuk ke dewan ini tadi, saya sebut pada Puan Azlina Abdul Aziz (Pegawai Daerah Gombak) nampaknya dewan ini panas, perlu hawa dingin tetapi saya tidak ada kuasa untuk luluskan peruntukan sebagai Menteri Besar Caretaker (Sementara).

“Saya sudah semak dengan MBI, insya-Allah kita boleh sumbangkan sekitar RM25,000 untuk pasang hawa dingin di dewan ini yang diluluskan segera untuk digunakan aktiviti komuniti di sini,” katanya.


Pengarang :