Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan surat kelulusan pemilikan tanah pada majlis penyerahan sumbangan Kerajaan Negeri bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Kampung Bendahara, Batu Caves pada 24 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan Negeri selesai 65 pemilikan tanah penduduk Batu Caves

Oleh Fitri Hazim Hazam

GOMBAK, 24 JULAI: Kerajaan Negeri meluluskan 65 surat permohonan pemberimilikan tanah (Notis 5A) untuk penduduk Batu Caves, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan menyelesaikan isu pemilikan tanah sejak sedekad lalu hasil usaha Kerajaan Negeri bersama Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Bantuan dibahagi kepada tiga kelompok, pertama untuk 26 pemohon yang belum diselesaikan pemilikan tanah di kawasan Kampung Indian Settlement, kumpulan penerima hari ini terakhir di kawasan ini yang negeri selesaikan masalah mereka sejak 2009.

“Kelompok kedua adalah 29 pemohon di pekan Batu Caves terdiri kalangan peniaga untuk membantu mereka mendapat penempatan semula.

“Kumpulan pemohon terakhir seramai 10 orang merupakan peneroka asal di Taman Daya yang mengusahakan tapak pemindahan setinggan di sebahagian Lot 2, Batu Arang,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa bencana dan penyerahan surat kelulusan di Dewan Seroja Kampung Bendahara, di sini hari ini.

Amirudin memaklumkan negeri akan memberi tumpuan untuk membangunkan kemudahan infrastruktur di kawasan Kampung Indian Settlement jika diberi mandat sekali lagi untuk HARAPAN-BN mentadbir Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

“Selepas ini pejabat tanah dan MPS akan melantik kontraktor dengan tumpuan jalan ataupun infrastruktur di kawasan Kampung Indian Settlement.

“Tetapi disebabkan musim PRN kita tangguhkan sementara, selepas pilihan raya agenda penyediaan kemudahan ini keutamaan Kerajaan Negeri supaya penduduk dapat berpindah ke rumah mereka dalam keadaan baik,” katanya.


Pengarang :