Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim pada majlis taklimat pembangunan Kompleks Islam Gombak Permai, Gombak pada 24 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kompleks Islam Gombak Permai dilengkapi pelbagai kemudahan, pusat aktiviti agama

Oleh Shamz Johan

GOMBAK, 24 JULAI: Kompleks Islam Gombak Permai bercirikan seni bina kemelayuan yang akan dibina di Kampung Wira Damai mampu menampung sehingga 3,000 jemaah.

Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) berkata empat komponen utama kompleks adalah masjid Wira Damai, sekolah, kuarters kakitangan dan taman rekreasi.

“Ruang solat dibina dengan kapasiti sehingga 500 jemaah dan jika ditambah ruang solat di luar (beranda), keseluruhan boleh memuatkan sehingga 2,500 jemaah manakala sekolah rendah agama akan dibina dengan kapasiti 1,000 pelajar,” kata Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Beliau ditemui pada Majlis Taklimat Pembangunan Kompleks Islam Gombak Permai, Kampung Wira Damai, di sini, semalam yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar. Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pembinaan kompleks Islam bernilai RM25 juta itu akan disegerakan dan mengambil masa sekurnag-kurangnya tiga tahun sebelum boleh digunakan penduduk.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim pada majlis taklimat pembangunan Kompleks Islam Gombak Permai, Gombak pada 24 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, Raja Ahmad Shahrir berkata selain mempunyai tasik dan kolam, kawasan kompleks tersebut turut dilengkap tempat rehat trek joging selain akses keluar masuk antara taman dengan masjid.

“Demi keselesaan pengunjung serta mengelakkan kesesakan terutama ketika solat jumaat, kira-kira 500 unit parkir termasuk di tingkat bawah tanah masjid akan disedaiakan,” katanya.

Menurutnya, pembinaan masjid mengambil inspirasi dari Masjid Kampung Laut di Kelantan dan Masjid Agung Demak di Jawa Tengah dengan menggunakan reka bentuk atap tumpang bagi menggantikan kubah.

“Kita mahu mempamerkan ciri seni bina kemelayuan dan kompleks ini akan menjadi ikon setempat,” katanya lagi.

Rekabentuk Kompleks Islam Gombak Permai. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :