Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika sesi pendengaran awam bersama rakyat anjuran Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam pada 24 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kerja berpasukan, terbuka dengar pandangan faktor kestabilan pentadbiran negeri 

SHAH ALAM, 25 JULAI: Konsep musyawarah atau kesediaan mendengar pandangan pelbagai pihak yang diamalkan Kerajaan Selangor antara tunjang kestabilan pentadbiran negeri itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata di bawah terajunya, kerja berpasukan dan kesediaan untuk mempelajari perkara baharu turut ditekankan.

Mempercayai nilai-nilai itu menyumbang kepada kejayaan ekonomi yang membanggakan, beliau berkata ia juga berjaya mengawal kestabilan dan iklim politik dalam negeri.

“Aspek berpasukan saya tekankan dalam pertemuan kali pertama dengan jemaah EXCO serta penjawat awam yang menjadi pasukan pelaksana kepada Kerajaan Negeri.

“Saya juga kerap kali tekankan perlunya saling melengkapi, memahami satu sama lain dan semangat ingin belajar kerap kita bukan tahu semua benda,” katanya dalam sesi Town Hall Rakyat di Seksyen 15, di sini, malam tadi.

Beliau berkata amalan mendengar pandangan semua pihak memastikan setiap keputusan dibuat dengan lebih berhati-hati dan teliti.

“Saya dengar pandangan semua pihak daripada pegawai atasan sampai bawahan. Daripada penasihat dasar sampailah kepada Ahli Dewan Negeri.

“Konsep musyawarah yang selalu saya tekankan itu (membolehkan pelbagai perkara) berjalan dengan baik walaupun kadang kala ada keputusan tidak dipersetujui saya bertegas dalam beberapa keputusan.

“Tetapi akhirnya konsensus kepada sesuatu langkah itu akan berikan sokongan dan dorongan. Ada baiknya kadang-kadang berdepan krisis sebab kita akan lebih berhati-hati, cermat dan teliti dalam membuat keputusan,” katanya.

Selangor mencatat pertumbuhan tertinggi dan sumbangan terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) mentadbir negeri mulai 2008 dengan 25.5 peratus direkodkan pada tahun lalu.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia jumlah itu melebihi satu perempat ekonomi negara, meningkat 0.7 peratus berbanding 2021.


Pengarang :