Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan bagi membantu remaja Orang Asli dari Kampung Pinchong, Pos Gob, mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang selepas terkena renjatan elektrik akibat panahan kilat pada 24 Julai 2023. Foto Facebook Bahagian Udara JBPM
AGENDAJENAYAH

JBPM bantu remaja Orang Asli dapatkan rawatan selepas terkena renjatan elektrik

GUA MUSANG, 25 JULAI: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac), bagi membantu remaja lelaki Orang Asli dari Kampung Pinchong, Pos Gob, mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang selepas terkena renjatan elektrik akibat panahan kilat, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata pesakit Mazlan Roslan, 18, dibawa menaiki pesawat jenis Agusta Westland (AW139) bersama seorang pengiring, pada jam 5.38 petang.

“Pesakit menjadi kerap pengsan dan tidak sedarkan diri sejak dua hari lalu, selepas terkena renjatan elektrik akibat kilat ketika mendengar lagu di telefon bimbit, sambil menggunakan fon telinga.

Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan bagi membantu remaja Orang Asli dari Kampung Pinchong, Pos Gob, mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang selepas terkena renjatan elektrik akibat panahan kilat pada 24 Julai 2023. Foto Facebook Bahagian Udara JBPM

“Pesakit perlu diusung meskipun berada dalam keadaan sedar, berikutan dirinya yang tidak mampu berdiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hasrizal berkata pesawat tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada jam 5.55 petang, sebelum dibawa menaiki ambulans ke hospital.

“Kedudukan khemah dan bangunan berhampiran lapangan di Kampung Pinchong menyukarkan pendaratan. Keseluruhan jam penerbangan berdurasi tiga jam enam minit, dengan keadaan hujan lebat di sekitar Raub, Pahang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :