Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan Ehsan Rahmah diperluas ke 15 lokasi sehari mulai 1 Ogos

SHAH ALAM, 26 JULAI: Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan diperluas ke 15 lokasi sehari mulai 1 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata pertambahan lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) dibuat selepas temeterainya kerjasama dengan pasaraya Segi Fresh.

“Sebelum ini kita anjurkan JER di sembilan lokasi sehari kemudian baru-baru ini kita umum ditambah menjadi 12 lokasi tetapi hari ini menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Segi Fresh kita membuat keputusan JER di 15 lokasi sehari mulai 1 Ogos ini.

“Segi Fresh akan menjadi rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk menyediakan lokasi di premis rangkaian mereka yang terpilih di seluruh Selangor.

“Penganjuran JER bagi membantu penduduk di Selangor terutama golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan barangan asas pada harga lebih murah,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (dua,kiri) dan Pengarah Segi Value Holdings Sdn Bhd Dato’ Syed Haizam Hishamudin Putra Jamalullail (dua,kanan) menunjukkan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua pihak di Wisma PKPS, Shah Alam pada 25 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Manandatangani MoU antara PKPS dan Segi Fresh di Dewan Orkid Wisma PKPS di sini semalam.

Mohamad Khairil yakin dengan tambahan lokasi itu nilai jualan JER dijangka meningkat kepada RM80 juta berbanding RM60 juta kutipan sejak tahun lalu merangkumi pemberian subsidi bersasar lebih RM20 juta dari Kerajaan Negeri.

“Tambahan 15 lokasi sehari ini juga dijangka memanfaatkan lebih 5 juta penduduk berbanding 4.5 juta sebelum ini,” katanya.

JER diperkenalkan tahun lalu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Mulai minggu lepas, PKPS mula menjual minyak masak paket dan daging kiub di beberapa lokasi terpilih.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautanhttp://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :