Orang ramai membeli barangan asas ketika Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Subang Jaya di IPD Subang Jaya pada 16 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Bekas wakil rakyat BN puji Kerajaan Negeri laksana jualan murah (VIDEO)

SHAH ALAM, 27 JULAI: Bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memuji usaha pentadbiran negeri melaksana program jualan murah barangan asas bagi meringankan beban rakyat.

Datuk Mohd Sharif Jajang berkata program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang diadakan sejak hujung tahun lalu memberi kesan besar terutama kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

“Telur satu papan RM10, beras RM10 (untuk lima kilogram), mana nak dapat? Tahniah kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (HARAPAN) yang memperkenalkan ini.

“Ia memberi impak yang besar kepada rakyat dalam bentuk mengurangkan beban harian kerana ini suatu sumbangan yang besar,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor, baru-baru ini.

Bekas Ahli Dewan Negeri Dengkil selama dua penggal itu berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menyediakan peruntukan tinggi bagi menjalankan inisiatif berkenaan.

Mohd Sharif turut menyeru pengundi Selangor khususnya di kawasan berkenaan untuk mengekalkan pentadbiran sedia ada, bagi menjamin manfaat dan kestabilan kepada negeri.

“Terima kasih daun keladi, kalau ada, bagi lagi. Pada pilihan raya akan datang ini, kalau boleh mengundi, tolonglah undi HARAPAN dan BN. InsyaAllah akan membentuk kerajaan yang kuat. Kita mesti ada perpaduan dan saya yakin ia dapat dijelmakan nanti,” katanya.

Program JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan pelbagai barangan seperti ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual ialah pek ikan kembung berharga RM6, minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10) di beberapa lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum.


Pengarang :