Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, pada 27 Julai 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia sasar berada di kedudukan 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2033

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Malaysia menyasar meningkatkan ekonominya menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun naik ke tangga ke-30 daripada kedudukan ke-37 dalam data Bank Dunia pada 2022 dengan menumpukan kepada penyerantauan dan daya saing yang lebih besar dan meningkatkan rantaian nilai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tumpuan utama adalah untuk menstruktur semula ekonomi bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia.

“Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara 4 hingga 5 peratus.”

“Namun, jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5 peratus, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan 6 peratus,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis peluncuran Ekonomi Madani:Memperkasakan Rakyat, di sini, hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, negara perlu membentuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran ketika dunia sedang berdepan dengan kekangan rantaian bekalan.

“Maka, kita perlu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi untuk menembusi pasaran rantau Asean,” katanya.

Perdana Menteri berkata, usaha kerajaan perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas.

“Misalnya melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran bilateral dan multilateral serta memudahkan pergerakan barang, modal, modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran,” katanya.

Selain meletakkan Malaysia sebagai antara 30 ekonomi terbesar dunia, Anwar berkata Ekonomi Madani juga menetapkan enam penanda aras lain yang mahu dicapai dalam tempoh 10 tahun.

Ia termasuk Indeks Daya Saing Global berada di tangga ke-12 teratas dunia, peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan (sasaran RMKe-12 adalah 40 peratus menjelang 2025), kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus, Indeks Pembangunan Manusia berada di tangga 25 teratas dunia, Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia dan kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3 peratus atau lebih rendah.

– BERNAMA


Pengarang :