Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan program Tekad Pendidikan #KitaSelangor di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 27 Julai 2023. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek (kanan) dan Rektor Universiti Islam Selangor Prof Madya Dato’ Dr Mohd Ravi Abdullah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah bakti siswa Selangor lahir mahasiswa holistik, cakna keperluan masyarakat

SERDANG, 27 JULAI: Program Jelajah dan Bakti Siswa Selangor bakal menyokong peranan universiti dalam melahirkan mahasiswa holistik dan berdaya saing.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu juga akan memberdaya mahasiswa daripada segenap aspek.

“Jelajah ini adalah program mahasiswa dan mahasiswi terutama pada cuti semester dan hujung minggu bagi mendekatkan mereka dengan realiti di sekitar.

“Kita mahu golongan ini cakna dengan persekitaran sekeliling, tidak hanya duduk dalam gelembung sendiri yang hanya akan memisahkan mereka dengan realiti dan masyarakat,” katanya.

Amirudin berkata demikian selepas melancarkan program itu di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Memberdaya Mahasiswa Berprestasi, Merealisasi Selangor Madani merupakan tema utama jelajah dan bakti siswa Selangor di bawah program Tekad Pendidikan #KitaSelangor.

Merupakan sebahagian Rancangan Strategik Pendidikan Negeri Selangor (SELESTARI) 2023-2030 bagi memacu Rancangan Selangor Pertama (RS-1) ia bakal menjelajah ke empat zon di utara (Pulau Pinang), Timur (Terengganu), Selatan (Johor) dan (Tengah) Sabak Bernam.

Pengisiannya termasuk program anak angkat kepada penduduk setempat selain motivasi pelajar sekolah rendah dan menengah.

Turut diadakan ‘townhall’ bersama rakyat, gotong royong, reruai penerangan inisiatif Iltizam Selangor Penyayang dan agensi Kerajaan Negeri ,pameran dan pertandingan selain jualan produk komuniti Industri Kecil dan Sederhana.

Pelaksanaan program berkenaan akan diterajui Universiti Islam Selangor (UIS) dengan kerjasama Universiti Selangor (Unisel), Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS).

Turut terlibat agensi Kerajaan Negeri, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).


Pengarang :