KAJANG, 27 JULAI: Dato’ Menteri Besar menghargai tugas pekerja pengurusan sisa pepejal negeri dan menyelar cubaan pihak tidak bertanggungjawab menghina golongan itu.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, tindakan mempertikai tugas kakitangan KDEB Waste Management (KDEBWM) jelas dengan sengaja mahu memburukkan Kerajaan Negeri.
“Ini adalah tanda penghargaan kepada sumbangan mereka. Kebetulan ada pihak yang mempertikaikan tugas mereka dengan hasrat mahu burukkan Kerajaan Negeri.
“Karakter ini lah yang akan merosakkan hubungan antara pentadbiran dengan kakitangan awam. Ini tanda penghargaan saya atas cubaan pihak yang cuba menghina pekerjaan mereka,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/P_MBPetugasKDEBWM-5-500x333.jpg.webp)
Terdahulu, beliau menikmati makan tengahari bersama kira-kira 70 petugas pembersihan di Restoran De’Rumbia Ikan Bakar di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan KDEBWM Datuk Ramli Mohd Tahir dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Najmuddin Jemain.
Baru-baru ini, seorang pemilik akaun Twitter memuat naik video mengenai lambakan sampah di Kampung Jawa Batu 18, Hulu Langat yang didakwa tidak diuruskan dengan baik.
Seorang kakitangan KDEBWM bagaimanapun memuat naik video di media sosial dan mempertahankan tatacara operasi piawai (SOP) jadual kutipan sampah yang dilaksanakan agensi itu di kampung berkenaan.
Video oleh Julian Nordin kemudiannya tular dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat, termasuk kepimpinan negeri.