EXCO Perumahan Rodziah Ismail (tengah) pada Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Harmoni TWL Holding Berhad di Subang pada 27 Julai 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Waspada sindiket jual Rumah Selangorku guna jata negeri di media sosial

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SUBANG JAYA, 27 JULAI: Orang ramai dinasihat tidak terpedaya dengan sindiket penipuan ejen hartanah yang menyalah guna jata negeri Selangor dan logo Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

EXCO Perumahan Rodziah Ismail mendedahkan LPHS mengesan berlakunya salah guna jata negeri dan logo berkenaan dalam beberapa iklan penjualan rumah khususnya di media sosial.

“Iklan terbabit didapati menggunakan identiti projek rumah sebagai Rumah Selangorku secara palsu. Lebih menyedihkan terdapat ejen terlibat mengenakan bayaran tempahan unit di antara RM200 sehingga RM1,000.

“Hasil semakan LPHS dengan pemaju, terdapat sebahagian ejen tidak dilantik sebagai wakil jualan kepada unit projek tersebut,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Harmoni TWL Holding Berhad di sini hari ini.

Rodziah turut meminta orang ramai membuat semakan mengenai kesahihan kewujudan projek dilaksana Kerajaan Negeri melalui sistem pendaftaran Rumah Selangorku menerusi pautan ehartanah.lphs.gov.my.

“LPHS tidak teragak-agak membuat laporan polis terhadap mana-mana akaun media sosial, individu, syarikat atau entiti yang didapati mengiklankan projek perumahan dengan menyalahgunakan jata negeri Selangor dan logo agensi itu tanpa kebenaran serta identiti Rumah Selangorku secara palsu.

“Mereka yang didapati berbuat demikian boleh dikenakan tindakan perundangan,” katanya.


Pengarang :