Exco Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (kiri) bersama calon DUN Bukit Lanjan Phua Pei Lei meninjau tapak projek Kampung Baru di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh pada 27 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Calon HARAPAN DUN Bukit Lanjan mahu tambat hati pengundi muda

OLEH JULIANA JOHAR

PETALING, 27 JULAI: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan ingin mendekati golongan muda dan wanita bagi mengetahui keperluan mereka di kawasan terbabit.

Phua Pei Lei, 32, yang mewakili Parti Keadilan Rakyat berkata pendekatan itu mengambil kira demografi penduduk dengan sebahagian besarnya dalam lingkungan usia bawah 40 tahun.

“50 peratus pengundi Bukit Lanjan bawah 40 tahun, jadi tumpuan saya bersesuaian dengan imej saya iaitu (memberi fokus) kepada golongan muda dan kaum wanita.

“Saya akan maklumkan perubahan dan tumpuan yang ingin dibawakan selepas penamaan calon,” katanya ditemui pada sesi lawatan tapak projek menaik taraf tebing sungai Kampung Desa Aman hari ini.

Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han yang ditemui pada majlis sama percaya kredibiliti Pei Lei untuk mempertahankan DUN Bukit Lanjan dalam pilihan raya negeri berdasarkan prestasinya.

“Pei Lei lama berkhidmat dengan pejabat saya sebagai pegawai perhubungan perkampungan yang membantu saya menjaga kampung-kampung di daerah Gombak.

“Selama lima tahun bekerja dengannya, beliau memang menunjukkan prestasi yang cukup baik dan merupakan seorang anak muda yang sangat bertanggungjawab terhadap tugasnya,” katanya.

Hari penamaan calon pilihan raya negeri Selangor, dan lima negeri lain, ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.


Pengarang :