Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyampaikan ucapan pada majlis pengumuman penemuan Survei Pendapatan dan perbelanjaan Isi Rumah 2022 di Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya pada 28 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dasar gaji progresif dimuktamad 7 Ogos, rapat jurang gaji, kos sara hidup

PUTRAJAYA, 28 JULAI: Dasar kenaikan gaji progresif yang bertujuan menangani kenaikan kos sara hidup rakyat akan dimuktamad pada 7 Ogos nanti, kata menteri ekonomi.

Rafizi Ramli berkata pihaknya sudah menyediakan kertas putih bagi tujuan itu, selain perbincangan di peringkat kementerian hampir selesai untuk dibentang ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

“Maknanya dalam tempoh seminggu lagi kita dapat keputusan dasar. Apabila keputusan dasar diperoleh maka kita boleh umum beberapa hala tuju dasar utama mengenai gaji progresif dan selepas itu proses (pelaksanaan) bermula.

“Semua dasar gaji progresif ini sebenarnya mengambil kira keadaan gaji dan kedudukan pendapatan rakyat,” katanya pada sidang media selepas pengumuman penemuan survei pendapatan dan perbelanjaan isi rumah 2022 hari ini.

Bercakap di Jabatan Perangkaan Negara di sini, beliau percaya rakyat teruja menanti keputusan itu walau mengakui wujud kebimbangan dalam kalangan majikan yang belum sedia berbuat demikian.

“Tahap penerimaan rakyat terhadap dasar gaji progresif ini 71 peratus, cuma setakat ini majikan bimbang kalau kerajaan paksa bayar gaji kerana akan memberi kesan kos.

“Kita ambil maklum perkara itu. Sebab itu saya yakin apabila model gaji progresif ini berjaya dapat keputusan dan diumum konsepnya, majikan juga akan gembira,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi menuntut komitmen dan kerjasama sektor swasta dalam memastikan pelaksanaan dasar kenaikan gaji progresif.

Menurutnya keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk merapatkan jurang ketara antara pertumbuhan gaji rakyat dengan kenaikan kos sara hidup.


Pengarang :