Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan Insentif Haji Muassasah kepada bakal jemaah di Masjid At-Tuqo, Tanjong Karang, Kuala Selangor pada 9 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB jawab fitnah, negeri suburkan syiar Islam

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kerajaan Negeri sentiasa istiqamah dalam menyuburkan syiar Islam dengan menyediakan pelbagai inisiatif.

Dato’ Menteri Besar juga meminta pihak tertentu menghentikan fitnah tidak berasas mengatakan masjid di negeri ini semakin berkurangan selain elaun penggerak masjid juga dikurangkan.

“78 masjid dan 75 surau dibina baru dan ditambah baik. Elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) ditingkatkan dan tertinggi di Malaysia. Insentif khas khusus buat imam, bilal dan siak masjid seluruh Selangor.

“Insentif khas buat jemaah Haji Muassasah. Elaun imam di Selangor adalah RM1,300 sebulan bukan RM850 seperti yang didakwa! Jauhi fitnah yang merupakan dosa besar dalam Islam,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama wakil guru selepas majlis penyerahan bantuan sekolah agama rakyat berjumlah RM9.3 juta di Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Al-Maarof, Johan Setia, Klang pada 11 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sebelum ini, ada pihak mendakwa Kerajaan Negeri menurunkan elaun kakitangan masjid selain jumlah rumah ibadat itu semakin berkurangan dibandingkan dengan jumlah penduduk.

Berdasarkan infografik dikongsi, sebanyak RM105 juta setahun diperuntuk bagi pengurusan dan selenggara sekolah agama, masjid dan surau serta RM185 juta pula untuk membina dan baik pulih 78 masjid dan 75 surau antara 2019 hingga 2022.

Selain itu, RM20 juta atau RM4 juta setahun diberikan untuk mengurus masjid dan surau sejak 2018 hingga 2022.

Malah, menerusi Belanjawan 2023, Kerajaan Negeri meluluskan RM4.8 juta kenaikan elaun guru Kafa, Kafa-i dan sekolah kepada RM1,500.

Bahkan, RM13.4 juta diperuntuk sebagai insentif khas Aidilfitri kepada 34,339 penggerak masjid, nazir, imam, bilal hingga siak antara 2019 hingga tahun ini.


Pengarang :