Pengerusi Pakatan Harapan Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan di Jelajah Malaysia Madani DUN Rawang pada 27 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN ulangi keyakinan pertahan Selangor, menang majoriti selesa

OLEH SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 29 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor mengulangi keyakinan mampu mempertahan negeri itu dengan majoriti selesa dua pertiga dalam pilihan raya pada 12 Ogos.

Pengerusinya Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keyakinan itu bersandarkan prestasi cemerlang negeri dalam tempoh lima tahun selain pelaksanaan program kebajikan rakyat.

“Dalam tempoh lima tahun, kita anjur lebih lima kali siri jelajah di sembilan daerah melibatkan 45 lokasi untuk bertemu rakyat memberi penerangan tentang dasar kerajaan dan program.

“Dengan hasil kerja keras yang digembleng, insya-Allah perpaduan (kerajaan) akan kekal bertahan dan bertapak di Gombak dan seluruh Selangor,” katanya di sini malam tadi.

Bercakap pada majlis pelancaran jentera perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Dato’ Menteri Besar mengajak jentera parti bekerja keras memenangkan calon perpaduan di kawasan itu.

“Sekarang, dua kekuatan (HARAPAN dan Barisan Nasional) bergabung di Gombak dan seluruh Selangor, justeru semua perlu bekerja keras mengundi calon di DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang.

“Insya-Allah, dalam 9, 10 malam (malam pengiraan undi), kami akan berkumpul dan kita akan umumkan tertubuh secara rasminya kerajaan perpaduan di Selangor,” katanya lagi.


Pengarang :