Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) dan dua calon lain selepas pengumuman calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di luar Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak pada 29 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB yakin pertahan Sungai Tua, bentuk kerajaan perpaduan di Selangor

GOMBAK, 29 JULAI: Dato’ Menteri Besar yakin mengulangi kejayaan penggal lalu mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dalam pilihan raya negeri (PRN).

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menegaskan kerajaan perpaduan akan dibentuk di Selangor antara Pakatan Harapan (HARAPAN) bersama sokongan Barisan Nasional (BN) selepas 12 Ogos.

“Insya-Allah dengan momentum kesefahaman, kesepakatan dengan prestasi yang ditonjolkan dalam pencapaian lima tahun lepas, kita yakin akan kekalkan momentum kemenangan,” katanya.

Calon nombor tiga dalam kertas undi itu ditemui selepas pengumuman calon di Dewan Mutiara Bestari, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak hari ini.

Kerusi Sungai Tua menyaksikan saingan tiga penjuru antara Amirudin yang juga pengerusi HARAPAN Selangor menentang calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Hanif Jamaluddin dan Bebas Suman Gopal.

Sementara itu, calon BN bagi DUN Gombak Setia Datuk Megat Zulkarnain Omardin pula berharap golongan muda tidak mensia-siakan undi mereka dan memilih calon perpaduan bersama HARAPAN.

Pengerusi Badan Perhubungan BN Selangor itu berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang kerusi Muhammad Hilman Idham (PN) dan calon Bebas Mohamed Salim Mohamed Ali.


Pengarang :