Calon Pakatan Harapan DUN Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika penamaan calon pilihanraya umum negeri di Dewan Orang Ramai MBSA , Kampung Bukit Naga, Shah Alam pada 29 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tiga penyandang yakin pertahan kerusi, hasil prestasi cemerlang negeri

Oleh ABDUL RAHIM SABRI, FHATIHAH ZAKINAN & NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 29 Julai: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) yakin dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni turut yakin dapat meraih sokongan pengundi jauh lebih besar berdasarkan persiapan jentera HARAPAN yang turut dibantu Barisan Nasional (BN).

“Alhamdulillah, selepas bertemu dengan pimpinan Barisan Nasional, mereka (akan) memberi sokongan dan juga pimpinan Amanah.

“Kita lihat ini satu sejarah di mana HARAPAN dan Umno bergabung tenaga mendapat sokongan terbesar. Mohon restu semua,” kata calon nombor satu dalam kertas undi.

Ditemui selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Orang Ramai MBSA di Kampung Bukit Naga di sini, Mohd Zawawi berharap rakyat terus memberi mandat lima tahun lagi kepada HARAPAN bagi memastikan pelbagai agenda dan program kebajikan dapat diteruskan.

DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandangnya Mohd Zawawi, Wan Dzahanurin Ahmad (Perikatan Nasional) dan Afriena Shaqira Shariff (Muda).

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Tanjung Sepat Borhan Aman Shah (tengah) diiringi oleh penyokongnya berarak memasuki Pusat Penamaan Calon di Dewan Komuniti Pantai Putra, Sepang pada 29 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Keyakinan sama turut dikongsi calon HARAPAN DUN Tanjong Sepat Borhan Aman Shah yang mempertaruh kerja kerasnya menyelesaikan isu penduduk sepanjang penggal lalu untuk dinilai pengundi.

“Saya harap semua pengundi bertenang dan buat keputusan terbaik untuk memilih. Nasihat saya pilihlah calon yang boleh menyambung legasi pentadbiran negeri, ketika pada hari mengundi 12 Ogos,” kata ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Komuniti Pantai Sepang Putra, Sepang, di sini.

Calon nombor dua atas kertas undi itu bersaing dengan calon Perikatan Nasional Sabirin Marsono

Penyokong kerajaan perpaduan menjulang calon Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri selepas proses penamaan calon di Dewan Pelabuhan Klang Majlis Perbandaran Klang (MPK), Klang pada 29 Julai 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Sementara itu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang yakin pengundi bijak menilai prestasi beliau sejak menjadi wakil rakyat kawasan itu pada 2018.

“Sepanjang satu penggal di sini, saya tidak pernah mengenal erti penat dan lelah berkhidmat untuk masyarakat. Sudah tentu ramai yang berpuas hati dan saya yakin telah membuat yang terbaik.

“Saya yakin pengundi akan memberikan undi sekali lagi kepada saya sebagai calon HARAPAN,” kata Azmizam Zaman Huri selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Pelabuhan Klang, Majlis Perbandaran Klang (MPK), pagi tadi.

Kerusi DUN Pelabuhan Klang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Azmizam (HARAPAN) , Wan Hasrina Wan Hassan (Perikatan Nasional) dan Syed Ahmad Putra Syed Isa (Parti Rakyat Malaysia).


Pengarang :