Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman dan calon Kota Damansara Ahmad Izuan Muhammad Kasim berarak bersama penyokong ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Seksyen U5, Shah Alam pada 29 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon DUN Paya Jaras, Bukit Melawati yakin kerusi HARAPAN kekal

Oleh Siti Rohaizah Zainal dan Sofia Nasir

SUNGAI BULOH, 29 JULAI: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras yakin mempertahankan kerusi kawasan itu dalam pilihan raya negeri berdasarkan rekod cemerlang Pakatan Harapan (HARAPAN) memerintah Selangor.

Mohd Khairudin Othman yang juga penyandang DUN itu berkata, pelbagai inisiatif dilaksana kepada rakyat Selangor merangkumi pendidikan, sukan dan kesihatan.

“Daripada segi persiapan, kita sudah bergerak sebulan lalu mendekati masyarakat. Saya yakin Selangor dapat dikekalkan dengan pemerintahan kerajaan sedia ada termasuk di Paya Jaras.

“Diharap penyokong terus memberi sokongan supaya dapat kekalkan pembangunan yang dibawa di Selangor,” katanya.

Kerusi DUN Paya Jaras menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Khairudin, Dato’ Dr Halim Tamuri (Perikatan Nasional) dan Nurhaslinda Basri (Bebas).

Sementara itu calon HARAPAN DUN Bukit Melawati Thiban Subramaniam, 35, mahu menamatkan kemiskinan selain meningkatkan pendapatan rakyat dan mempromosi kawasan itu sebagai pusat pelancongan.

“Fokus utama saya meningkatkan pendapatan rakyat jadi saya mahu noktahkan kemiskinan tegar tahun ini.

“Kuala Selangor juga ada banyak kampung tradisi, dan saya berhasrat wujudkan ekosistem pendapatan rakyat menerusi program inap desa,” katanya sambil menambah akan meneruskan prestasi baik bekas wakil rakyat, Juwairiya Zulkifli yang melaksanakan pelbagai usaha membangunkan Bukit Melawati.

Calon Pakatan Harapan DUN Bukit Melawati Thiban Subramaniam bersalaman bersama penyokong selepas penamaan calon di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 29 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI.

Ahli Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN itu juga menaruh keyakinan dapat mempertahankan kerusi DUN itu terutama selepas pembentukan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Kerusi DUN Bukit Melawati menyaksikan saingan satu lawan satu antara Thiban dan calon Perikatan Nasional (PN), Noorazley Yahya.

Hari mengundi pilihan raya negeri ditetapkan 12 Ogos ini.


Pengarang :