Oleh JULIANA JOHAR
KUALA SELANGOR, 30 JULAI: Calon HARAPAN bertekad membangunkan Ijok sebagai lokasi kediaman mampu milik serta mesra keluarga yang dilengkapi pelbagai kemudahan.
Amidi Abdul Manan berkata kepadatan penduduk seperti di Shah Alam, Ampang dan Petaling Jaya melonjak potensi Ijok sebagai kawasan tumpuan terutama untuk pasangan baharu berkahwin.
“Pada saya, Ijok berpotensi maju. Pembangunan di sini mestilah bercirikan mesra keluarga sebab bila kita lihat, ramai penduduk dari Ampang, Petaling Jaya dan Shah Alam yang berpindah ke Ijok kerana mahukan tempat yang lebih selesa.
“Jadi saya rasa (ketenangan) itu yang perlu dikekalkan dalam masyarakat serta persekitaran kehidupan di sini.
“Namun pada masa sama kita tidak boleh melupakan soal pembangunan dan ekonomi yang perlu berjalan serentak di kawasan ini,” katanya.
Beliau yang juga bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ditemui Selangorkini ketika program Ziarah Kasih di Kampung Bukit Badong di sini, hari ini.
Amidi berkata liputan internet yang menyeluruh juga menjadi antara perkara yang menjadi perhatiannya, sekali gus menjadikan Ijok sebagai hab ekonomi digital.
“Ijok berpotensi untuk menjadi hub ekonomi digital disebabkan kedudukannya yang strategik. Tempias pembangunan serta terletak bersebelahan Puncak Alam turut dirasai Ijok.
“Justeru, warga Ijok perlu mengambil peluang untuk mempertingkatkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.