Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menziarahi pesakit barah Normaizon Abdul Hamid di Pangsapuri Kenanga, Taman Gombak Permai, Gombak. Foto Pejabat Menteri Besar
AGENDANASIONAL

Keluarga pesakit barah terharu dikunjungi Amirudin, sifatkan beliau prihatin rakyat

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 30 JULAI: Rutin harian Normaizon Abd Hamid, 39, pesakit barah payu dara tahap empat sejak hampir dua bulan lalu hanya duduk dan baring.

Ini kerana kedua kaki serta tangan kanannya telah membengkak dan paru-parunya pula dijangkiti kuman hingga terpaksa bernafas menggunakan mesin oksigen.

Teman berbual hanya suami, anak tunggal dan kakaknya, Normariana Abdul Hamid, 42, sekeluarga kerana dia kini menumpang teduh di rumah wanita itu di Pangsapuri Kenanga, Taman Gombak Permai, Gombak.

Namun hari ini Normaizon menerima kunjungan tetamu istimewa iaitu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Amirudin yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua datang untuk menziarah dan bertanya khabar keadaan kesihatan Normaizon yang dikesan menghidap barah dua tahun lalu.

“Normaizon dan saya sekeluarga terharu dengan keprihatinan Dato’ Seri Amirudin yang sudi melawat serta bertanya khabar. Walau sekejap tetapi lawatan beliau amat bermakna,” kata Normariana mewakili adiknya.

Bagi Normariana, Amirudin seorang pemimpin berjiwa rakyat dan sentiasa merendah diri.

“Walaupun pertama kali datang ke rumah saya, beliau sebenarnya sering datang berjumpa penduduk di pangsapuri ini.

“Sudah beberapa kali saya berjumpa beliau singgah solat di surau pangsapuri serta menghadiri majlis yang diadakan penduduk,” ujarnya.

Selain mengunjungi Normaizon, Amirudin turut melawat rumah tiga lagi pesakit di Pangsapuri Kenanga petang ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Normariana di 0182824787 atau akaun Maybank Normariana 162508253344.


Pengarang :