KOTA KINABALU, 30 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 101.95 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM3.36 juta dalam serbuan di Pelabuhan Sepanggar, di sini Rabu lalu, kata Ketua Pengarahnya Datuk Zazuli Johan.
Beliau berkata serbuan pada 5 petang ke atas sebuah kontena yang tiba dari Pelabuhan Klang, Selangor itu, dilakukan pegawai dan anggota Cawangan Narkotik, Unit Operasi Penguatkuasaan, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam Sabah, hasil maklumat risikan.
“Kontena tersebut mengandungi barangan campur dan hasil pemeriksaan rapi terhadap kontena itu, pasukan serbuan menemukan sembilan kotak disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis methamphetamine atau syabu.
“Kesemua dadah itu dibungkus menggunakan pembungkus jenama serbuk pencuci dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Zazuli berkata tiada tangkapan suspek dibuat pada masa ini, namun usaha mengesan dan menyiasat pengirim atau penerima sedang dilakukan berdasarkan alamat yang tertera iaitu di sebuah kondominium di Likas di sini.
Menurutnya kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup.
Sementara itu, beliau berkata setakat 25 Julai lalu, JKDM Zon Sabah merampas 122.91 kilogram dadah bernilai RM7.66 juta.
– BERNAMA