Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI belanja besar laksana program pendidikan negeri

OLEH FHATIHAH ZAKINAN

SHAH ALAM, 31 JULAI: Sebahagian besar perbelanjaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI digunakan untuk pembangunan pendidikan negeri.

Ketua tanggungjawab sosial dan komunikasi korporatnya memaklumkan inisiatif yang diletakkan bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) menerima peruntukan sekitar RM20 juta sejak 2018.

Menurut Ahmad Azri Zainal Nor, program dijalankan meliputi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), Bantuan Asas Yuran Universiti dan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi.

“Sebut soal kewangan kukuh, hampir RM7 juta peruntukan disediakan untuk PTRS. Tahun ini sahaja, seramai 65,000 pelajar tingkatan lima mendapat manfaat tersebut.

“Di peringkat universiti pula ada hadiah masuk universiti dengan bantuan asas RM1,000 kepada 3,000 pelajar terawal yang memohon. Ada juga tajaan penuh pelajar ke universiti terkemuka,” katanya.

Bercakap dalam program temu bual bersama Astro Awani pagi tadi, Ahmad Azri memaklumkan MBI juga menyediakan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS).

Jelasnya, inisiatif tersebut akan membiayai pelajar yang mengambil kursus teknikal dan latihan vokasional (TVET) bawah institusi negeri seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Selangor.

 

 


Pengarang :