Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad ditemu bual Media Selangor di pejabat Jais, Shah Alam pada 23 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
AGENDANASIONAL

Jais ingatkan tidak guna rumah ibadah untuk politik kepartian

SHAH ALAM, 31 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengingatkan parti politik tidak menggunakan masjid atau surau untuk berkempen termasuk mengedarkan risalah dan poster calon.

Pengarahnya berkata larangan menjadikan rumah ibadah sebagai medan politik kepartian berulang kali ditegaskan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Ahli politik yang didapati menggunakan masjid atau surau dengan tujuan yang tidak dibenarkan oleh DYMM Sultan Selangor dan Mais dianggap menghina, mengingkari dan melanggar titah.

“(Mereka yang berbuat demikian) boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” tegas Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan pentadbir masjid dan surau untuk mematuhi serta menguatkuasakan larangan tersebut bagi memastikan rumah ibadah di negeri ini sebagai zon aman dan bebas pengaruh politik.

Jelasnya, Mais berkuasa membatalkan lantikan pegawai masjid jika gagal atau cuai mematuhi arahan tersebut berdasarkan Peraturan 7 (f) Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan pentadbir masjid dan surau supaya tidak menjadikan institusi itu sebagai medan propaganda dan politik kepartian.

Baginda juga melarang sebaran bahan penerbitan berunsur politik manakala para pemimpin tidak dibenar menggunakan pusat ibadah itu untuk urusan kepartian.

Sultan Selangor turut mengingatkan calon pilihan raya agar tidak memainkan isu berkaitan
agama, kaum dan isu sensitif lain yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat.


Pengarang :