Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis perasmian penutup Program Malaysia Madani Dalam Perkhidmatan Awam Zon Tengah 2023 di Tropicana Golf and Country Resort, Petaling Jaya pada 31 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih banyak bantuan diperkenal jika pentadbiran negeri, persekutuan seragam

PETALING JAYA, 31 JULAI: Lebih banyak skim dan inisiatif bermanfaat bakal dinikmati rakyat Selangor sekiranya pentadbiran negeri bergerak seiring kerajaaan persekutuan.

Dato’ Menteri Besar berkata tatakelola yang selari turut menjamin kehidupan rakyat menjadi lebih selesa, termasuk melaksanakan segala perancangan dengan lebih cepat.

Mengambil contoh Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif itu hanya memanfaatkan 6,000 pelajar ketika dilancar pada 2009.

“Ketika (program itu) dibuat, Kerajaan Negeri tidak sama dengan persekutuan. Waktu itu kita pinjam sekolah agama pada sebelah malam, ambil guru yang sanggup mengajar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Perasmian Penutup Program Malaysia Madani Dalam Perkhidmatan Awam Zon Tengah Tahun 2023 di Tropicana Golf and Country Resort, Petaling Jaya pada 31 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebaik sahaja sama dengan pentadbiran persekutuan pada 2018, saya jumpa menteri dan pengarah pendidikan negeri. Kita bincang dan rangka semula, tambah elaun guru,” katanya di sini.

Bercakap merasmikan program Malaysia Madani dalam perkhidmatan awam zon tengah hari ini, Amirudin berkata usaha itu membuahkan hasil apabila jumlah pelajar bertambah saban tahun.

Menurutnya, seramai 63,000 pelajar direkodkan sehingga kini dan mereka turut diberikan makan tengah hari untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa.

“Bila kita dapat bersama dan serasi antara peringkat persekutuan serta negeri, barulah kita boleh tambah pelbagai perkara dan inisiatif,” katanya lagi.

PTRS diperkenal pada Mac 2009 menggunakan pusat komuniti sebagai premis tuisyen sebelum diperluas ke sekolah dan secara dalam talian susulan pandemik Covid-19.

Program itu memberi bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan kepada pelajar yang memperoleh keputusan sederhana atau lemah mata pelajaran dan daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000.

Tahun lalu, sebanyak RM7 juta diperuntuk untuk menjayakan program berkenaan dengan memantapkan pengisian portal http://ePTRS.my serta mengukuhkan kemahiran guru.

 


Pengarang :