Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri atau Pak Ya sarapan bersama petani di Warung Chelurut Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang pada 30 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pak Ya tekad bela nasib pesawah di DUN Permatang

Oleh NAJAMUDDIN MOHD NOR

TANJONG KARANG, 1 OGOS: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang bertekad menjadi suara sekali gus membela nasib golongan pesawah di kawasan tersebut.

Mohd Yahya Mat Sahri atau Pak Ya berkata, isu peningkatan kos pengeluaran padi yang menjejaskan sumber pendapatan pesawah akan dibawa ke pengetahuan Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Justeru, tiga langkah telah dikenal pasti untuk menangani kemelut yang dihadapi pesawah di DUN Permatang.

“Pak Ya akan menyarankan program pemulihan tanah pesawah yang perlu dilaksanakan demi meningkatkan produktiviti pesawah.

“Selain itu Pak Ya akan menyarankan supaya subsidi padi dan baja kepada pesawah ditingkatkan bagi meningkatkan pengeluaran padi, Pak Ya akan bawa saranan ni kepada kementerian pertanian,” katanya pada sidang media di pusat gerakan HARAPAN di sini.

DUN Permatang menyaksikan pertembungan dua penjuru iaitu Pak Ya berdepan Nurul Syazwani Noh dari Perikatan Nasional (PN). Hari mengundi pilihan raya negeri ditetapkan 12 Ogos ini.


Pengarang :