EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han ketika sidang media di Jalan Belatuk Bandar Puchong Jaya, Subang Jaya pada 8 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor kini bebas kilang kitar semula plastik haram

SHAH ALAM, 1 OGOS: Usaha dan tindakan tegas kerajaan Selangor berjaya menjadikan negeri itu kini bebas daripada lambakan kilang kitar semula sisa plastik haram, susulan ketetapan kerajaan negeri tahun lepas yang tidak lagi menerima permohonan lesen perniagaan baharu bagi sektor itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru dalam kerajaan sementara Selangor Ng Sze Han berkata berkata kerajaan negeri tahun lepas meluluskan ketetapan baharu operasi kilang dan premis di Selangor.

Beliau berkata antaranya menggariskan lesen perniagaan bagi kilang kitar semula plastik yang baharu tidak akan dipertimbangkan dan diluluskan oleh pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan negeri turut mengharamkan aktiviti import sampah plastik bermula Mac tahun lepas dan hanya peniaga sedia ada boleh memperbaharui lesen dengan syarat yang ditetapkan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Selain itu, katanya hasil tindakan bersepadu daripada kerajaan negeri dan agensi kerajaan Persekutuan pada 2018 hingga 2020 banyak membantu PBT mengambil tindakan tegas menghentikan operasi premis yang beroperasi tanpa kebenaran.

Ng berkata bagi tempoh itu, lebih 200 kilang telah diberikan notis untuk menghentikan operasi kerana aktiviti pemprosesan plastik yang tidak sah dengan pemilik dikenakan denda serta tanah turut dirampas.

“Kilang tanpa kebenaran (pemprosesan sisa plastik kitar semula) sudah tidak ada dan saya difahamkan semua telah pindah operasi luar dari Selangor. Namun, masih ada kilang yang berlesen dan ia dalam kawalan serta pemantauan kerajaan negeri.

“Bila ada lesen, kami (kerajaan negeri) tidak begitu bimbang kerana ia perlu mematuhi syarat dan peraturan ketat melibatkan semua agensi khususnya syarat tambahan kerajaan negeri dengan (pemilik serta operator kilang pemprosesan plastik) mesti dapatkan ulasan JAS (Jabatan Alam Sekitar) sebelum lesen perniagaan diberi,” katanya.

Beliau berkata syarat tambahan itu merupakan antara langkah kawalan khas kerajaan Selangor yang disifatkan berjaya mengawal kewujudan premis berkenaan tanpa kebenaran.

Ng berkata tindakan serta operasi bersepadu antara kerajaan negeri dengan agensi kerajaan pusat khususnya melibatkan pemotongan bekalan air serta elektrik juga antara kejayaan Selangor dapat menghapuskan kilang tanpa kebenaran itu.

Sebelum ini, kerajaan Selangor telah menetapkan lima dasar berkaitan pengoperasian kilang dan premis memproses sisa plastik kitar semula di negeri itu bagi mengelak pencemaran, yang diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-12/2022 pada 11 Mei 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian pada masa itu berkata hasil persetujuan mesyuarat berkenaan, pengimportan sisa plastik kitar semula bagi tujuan pemerolehan kembali atau pelupusan akhir semua kilang yang menjalankan proses kitar semula plastik tidak dibenarkan.

Hee memaklumkan semakan semula setiap lima tahun perlu dibuat bagi permohonan lesen perniagaan baharu kilang-kilang kitar semula plastik.

– BERNAMA


Pengarang :