Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 PPD Petaling Perdana yang diadakan di Dewan SJKC Shin Cheng (Harcroft), Puchong pada 01 OGOS 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Sedia tambah keperluan guru demi memperkasa pendidikan

PETALING, 1 OGOS: Kerajaan Negeri sedia melengkapkan keperluan warga pendidik termasuk penggunaan teknologi dan digital bagi memastikan sektor pendidikan terus diperkasa.

Dato’ Menteri Besar berkata aspek berkenaan merupakan antara tumpuan utama dalam perancangan negeri dan bakal dibincangkan lebih serius dengan jabatan pendidikan.

“Bantuan untuk guru termasuk latih tubi memang sudah ada dalam program pendidikan yang dibuat beberapa tahun lepas. Contohnya latihan dalam skim Cikgu Anis Istimewa Selangor.

“Selepas ini kita nak tahu keperluan tambahan termasuk memenuhi kehendak persekitaran dan penggunaan digital. Ini antara perkara yang akan ditumpukan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Bercakap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Amirudin berkata usaha mewujudkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) turut menyokong kejayaan sektor pendidikan.

“Bermula dengan membantu 6,000 pelajar, kini kita sudah ada lebih 63,000 pelajar. Kita beri tuisyen percuma dikendalikan MBI (Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan jabatan pendidikan.

“Program ini membanggakan. Kita taklantik penasihat atau guru luar sebaliknya guna kemahiran aset sedia ada. Kita hasilkan kandungan yang membantu pelajar malah dapat menjimatkan kos,” katanya.

PTRS diperkenal pada Mac 2009 menggunakan pusat komuniti sebagai premis tuisyen sebelum diperluas ke sekolah dan secara dalam talian susulan pandemik Covid-19.

Program memberi bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan kepada pelajar yang memperoleh keputusan sederhana atau lemah mata pelajaran dan daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000.

Tahun lalu, sebanyak RM7 juta diperuntuk untuk menjayakan program berkenaan dengan memantapkan pengisian portal http://ePTRS.my serta mengukuhkan kemahiran guru.


Pengarang :