GOMBAK, 2 OGOS: Gabungan kukuh antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) diyakini mampu melonjakkan lagi nama Selangor di rantau Asia Tenggara.
Pengerusi HARAPAN Selangor percaya negeri juga kekal unggul terutama dalam aspek pembangunan dan kebajikan jika gabungan itu mendapat mandat pada pilihan raya negeri (PRN).
“Saya percaya kalau kita pasakkan kemenangan, Selangor akan melonjak jauh dengan tradisi pentadbiran sahabat dalam BN serta idea baru pembangunan dan kebajikan dipelopori HARAPAN.
“Kita bukan lagi juara di peringkat negara, tetapi jadi contoh di rantau Asia Tenggara,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada ceramah Arus Merah Kuning di sini malam tadi.
Berucap di hadapan ratusan penduduk, Dato’ Menteri Besar turut menyoal kebolehan pembangkang menawarkan inisiatif kepada rakyat, seperti yang dilakukan HARAPAN ketika ini dalam pelbagai bentuk.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/08/PSX_20230801_232051-500x333.jpg.webp)
Mengambil contoh skim perlindungan insurans, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menjelaskan Selangor satu-satunya negeri di rantau Asia Tenggara yang menawarkan inisiatif itu.
“Ini ke yang mahu diubah mereka (Perikatan Nasional)? Apa tawaran mereka? Tiada,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin turut mengkritik mantan menteri besar lalu yang sering membuat tuduhan palsu selain memutar belit fakta berkaitan isu penggantian paip di Selangor.
Beliau memaklumkan sepanjang 600km paip diganti dengan kos lebih RM700 juta sepanjang lima tahun pentadbirannya berbanding hanya 200km bawah pemimpin terdahulu.
“Tiga empat tahun jadi (menteri besar), berapa panjang paip ditukar? 200km, kos pun lebih kurang RM300 juta. Bawah kerajaan sekarang, kita ganti 600km, itupun setahun lebih berhenti sebab pandemik. Kalau tidak mesti lebih 700km,” jelasnya.